Hari ini Tun Dr. Mahathir Mohamad genap berusia 87 tahun.
Kalau diikutkan beliau lahir pada 10 Julai 1925 tetapi kalau berdasarkan dokumen rasmi, tarikh lahir Dr. Mahathir dicatatkan pada 20 Disember 1925.
Beliau lahir hasil dari perkongsian hidup di antara Mohamad Iskandar dan isterinya, Wan Tempawan Wan Hanafi.
Dr. Mahathir yang dilahirkan di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah, dipilih secara rasmi sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keempat pada 18 Julai 1981.
Siapa pun tidak boleh menyangkal, di bawah pentadbirannya, negara telah melalui suatu proses transformasi yang tidak pernah digambarkan sebelum ini.
Mahathir mahu Malaysia menjadi sebuah negara maju dan rakyatnya mampu bersaing di peringkat global.
Hasratnya dijelaskan dalam apa yang dinamakan Wawasan 2020 yang beliau utarakan pada 28 Februari 1991 dengan bermatlamatkan “ke arah pembentukan sebuah negara yang benar-benar maju dalam segala bidang secara seimbang meliputi ekonomi, politik sosial, kerohanian, psikologi dan kebudayaan”.
Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir tidak pernah letih memperkenalkan perubahan.
Beliau tidak gentar dengan kontroversi dan pernah menggemparkan hubungan baik diplomatik Malaysia-British dengan mengamalkan dasar ‘Buy British Lasts” sebagai satu tindak balas di atas sikap London yang mendiskriminasikan kepentingan Malaysia.
Beliau kemudiannya memperkenalkan ‘Dasar Pandang Ke Timur’ dengan menjadikan budaya kerja masyarakat Jepun dan Korea sebagai suatu yang harus diteladani oleh rakyat demi meningkatkan produktiviti serta menyemai etika kerja professional.
Program pengswastaan mula diketengahkannya pada tahun 1983 sebagai satu usaha mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam menjana projek-projek pembangunan. Pengswastaan terhadap entiti kerajan juga digerakkan agar organisasi yang diswastakan lebih cekap.
Dalam usaha ke arah membina negara maju proses industrialisasi adalah sesuatu yang wajib. Sehubungan itu beliau telah melancarkan ‘Dasar Perindustrian Negara’ yang bertujuan mengorentasikan kegiatan ekonomi Malaysia kepada eksport barangan industri demi mengurangkan pergantungan ekonomi terhadap komoditi dan seterusnya mempertingkatkan teknologi negara melalui pemindahan teknologi.
Melalui dasar ini HICOM, Perwaja dan beberapa kilang berkapasiti tinggi telah diwujudkan. Hasil dasar ini maka lahirkan kereta nasional ‘Proton Saga’. Sejak itu Malaysia menjadi pemain yang aktif dalam industri otomobil dengan mengeluarkan van ‘Rusa’ dan motosikal ;Kriss’ dan menjadi pengeksport kereta yang berdaya maju.
Pada September 1996, kerajaan dibawah kepimpinannya telah mengumumkan pembinaan bandaraya pentadbiran persekutuan ‘Putrajaya’ yang bernilai RM2.6bil.
Putrajaya sebuah bandar pentadbiran terancang mempunyai falsafah murni ke arah mempertingkatkan produktiviti pentadbiran awam negara dan seterusnya mewujudkan ‘kerajaan elektronik’.
Dr Mahathir juga mengilhamkan ‘Kuala Lumpur City Centre (KLCC) iaitu projek hartanah yang terbesar di dunia dengan nilai RM 2bil. Bangunan ini merupakan bangunan tertinggi di dunia dengan 88 tingkat menara berkembar di atas lokasi seluas 40 hektar.
Malaysia pada tahun 2002 dijangkakan mempunyai sebuah empayar hidroelektrik baru iaitu Empangan Bakun, sebuah projek mega yang bernilai RM20bil. di Sarawak.
Menyedari bahawa industri penerbangan awam bukan hanya memerlukan pesawat terbang canggih tetapi juga lapangan terbang yang serba boleh, Dr. Mahathir telah menukar kawasan ladang di Sepang kepada tapak Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Lapangan terbang ini akan tampil sebagai yang tercanggih di rantau ini dengan nilai RM9 bil. Ia akan dapat menampung perjalanan 100 juta penumpang setahun dan pastinya menjadikan Penerbangan Malaysia (MAS) antara yang paling kompetitif di dunia.
Pada tahun 1997, Dr. Mahathir memperkenalkan ‘Koridor Raya Multimedia (MSC)’ yang akan menjadikan Malaysia pusat eksperimen pembangunan prasarana multimedia yang terunggul di dunia.
Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyuarakan hasratnya untuk berundur sebelum kegawatan ekonomi, tetapi terpaksa membatalkan hasrat beliau untuk bersara dan sebaliknya menumpukan perhatian beliau untuk membina semula ekonomi negara.
Bagaimanapun pada penutup Perhimpunan Agung UMNO 22 Jun 2002, Dr Mahathir telah mengejutkan seluruh negara dengan mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai Presiden UMNO.
Dr Mahathir kemudiannya mengumumkan akan bersara sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2003 dan menamakan Timbalannya, Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi sebagai pengganti.
Ini menamatkan kariernya sebagai Perdana Menteri paling lama dan salah seorang pemimpin Asia Tenggara yang paling lama berkuasa.
Dr Mahathir Mohamad meninggalkan Malaysia sebagai salah satu negara yang mantap ekonominya di dunia, khususnya di Asia Tenggara.
Selamat Hari Jadi Tun!
P/S :Negarawan yang amat aku hormati.Jasamu di kenang...